expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 28 May 2012

Ibu bapa punca anak malas




SUKARNYA mencari suami berkualiti  pada masa sekarang.  Bukan anak lelaki sahaja bermasalah bahkan anak perempuan pun sama.


Bagi saya itu semua berkait rapat dengan didikan ibu bapa zaman ini yang terlalu memanjakan anak. Mereka bukan sahaja mengikut kehendak anak-anak malah ada yang takut berkata 'Tidak'. Apatah lagi hendak memarahi anak-anak takut nanti lari dari rumah.


Kawan saya suami isteri bekerja, tinggal di bandar, bagi anaknya yang bersekolah menengah duit saku antara RM10 hingga RM15 sehari untuk belanja waktu rehat dan makan tengah hari. 


Kadangkala dia terpaksa beri lebih kalau anaknya ada aktiviti luar. Jumlahnya diramal bertambah apabila anaknya meningkat usia. 


Isterinya tak sempat nak siapkan sarapan apa lagi untuk masak nasi dan lauk tengah hari sebab bergegas ke pejabat. Makan malam pun isterinya tak sempat masak sebaliknya beli di gerai-gerai setiap hari.


Hari cuti pun isterinya tak sempat masak sebab sibuk berkemas, cuci pakaian dan sebagainya. Akhirnya sarapan, makan tengah hari juga malam, mereka beli sahaja di gerai. Isterinya cuma masak kalau ada masa, setakat goreng sayur atau sup ayam. Biasanya mereka suruh anak-anak beli di luar.


Apa yang ingin saya katakan, ibu bapalah punca anak-anak kurang pandai mengurus diri. Anak-anak dilimpahkan wang ringgit untuk membeli apa yang disukai. Mereka langsung tidak diajar membantu ibu mengemas, menggosok dan mencuci pakaian apa lagi ke dapur memasak.


Alasan isteri kawan saya ini, buat apa nak masak kalau setakat dua tiga orang nak makan, lebih baik beli. Tak buang masa, badan tak penat dan tak membazir.
Oleh kerana ibu bapa selalu sibuk dengan hal masing-masing, anak-anak ambil kesempatan minta apa sahaja yang mereka mahu. Kalau tak dapat mereka merajuk. Jadi untuk hilangkan rasa bersalah kerana kurang beri perhatian kepada anak-anak, mereka mengikut apa saja anak-anak minta seperti telefon bimbit dan sebagainya. Apabila besar, mereka tuntut belikan kereta, itu juga akan diikut jika mampu.


Apabila dah ada motor dan telefon, duit saku mesti lebih untuk minyak motor dan top up. Duit dah lebih dalam tangan, banyak benda anak-anak akan fikirkan. Akhirnya terlibat dengan rokok dan kemudiannya dadah. 


Kawan saya ini tak berani menasihati apa lagi memarahi anaknya kalau balik lewat. Bayangkan sekolah pagi tapi tiba rumah pukul 5 petang. Jika sekolah rendah anaknya balik sekolah duduk rumah pengasuh, naik tingkatan satu anaknya lebih suka duduk di sekolah, alasannya belajar dengan kawan.


Dia tahu anaknya tak belajar, sebaliknya duduk melepak di gerai dengan kawan, pergi rumah kawan atau ke kompleks beli-belah. Dia pernah jumpa pemetik api di dalam beg sekolah anaknya tetapi dia terima apabila anaknya nafikan dia merokok.


Hantar anak pergi tuisyen malam, selepas turun kereta anaknya melencong ke tempat lain. Dia pernah marah anaknya sekali, akibatnya anaknya balik rumah pukul 10 malam. Kerana takut anaknya lari, dia memujuk anaknya belajar dengan memberi wang, tetapi itu memburukkan lagi keadaan. 


Sebagai ibu bapa, sepatutnya kita ajar anak-anak mengurus duit belanja sekolahnya dengan baik, ajar menabung, latih mereka membantu bersihkan rumah, paling tidak bilik sendiri. Ajar mereka cuci baju dan menggosoknya sendiri jika tak mahu pakai pakaian berkedut ke sekolah. 


Jangan beri duit saku berlebihan supaya mereka balik ke rumah selepas sekolah dan masak sendiri walaupun makan telur dengan kicap. Ibu bapa juga kenalah rajin bangun awal pagi siapkan sarapan walaupun hanya nasi goreng dan roti. Apa susahnya masak nasi guna periuk elektrik. Yang penting anak-anak boleh balik makan tengah hari.


Masalahnya zaman ini, kita lihat ramai ibu yang tak mahu ke dapur, suka beli makanan siap di gerai, alasannya tak ada masa sebab bekerja, lebih menjimatkan, tak penat cuci periuk dan pinggan. Masalahnya mereka lupa bahawa mereka tidak mendidik anak-anak berjimat, mengurus rumahtangga terutama anak-anak perempuan. Apa akan jadi kepada mereka apabila dewasa nanti?


Apa salahnya kalau isteri berkorban tidur dengan bangun pagi memasak. Bangun awal sediakan sarapan atau sedikit makanan untuk anak makan tengah hari kerana selain dapat berjimat, mereka juga boleh mendidik anak-anak rajin memasak terutama anak perempuan. 


Zaman ini bukan sahaja anak lelaki tak berkualiti, anak perempuan lebih teruk lagi. Jadi apabila anak kita kahwin, mereka sama-sama tak berkualiti. Semua benda ambil mudah, tak suka susah. Jangan terkejut kalau nanti lahir keluarga yang sentiasa tak cukup duit sebab mereka tidak pernah tahu dan diajar berjimat serta mengurus keluarga dengan baik.


''Saya bukan nak menunjuk ajar, tetapi saya berikan didikan kepada anak-anak saya. Jadi saya tak bimbang apabila mereka dewasa dan berumahtangga. Sekurang-kurangnya, baik anak lelaki mahupun perempuan, mereka tahu bagaimana hendak mengurus keluarga setelah berkahwin, tahu berjimat dan menabung demi masa depan mereka.


Dari pengamatan saya, mereka yang tak tahu mengurus keluarga, sering mengeluh tak berduit. Walaupun gaji naik setiap tahun, mereka sering salahkan kerajaan tidak kawal harga barang sehingga mereka terpaksa berbelanja lebih. Sedangkan mereka tidak tahu menguruskan duit gaji yang diterima setiap bulan.


Sepatutnya kita latih diri mengurus duit gaji, dari situ barulah kita boleh didik anak-anak berjimat, sebab kita telah tunjukkan tauladan. Kalau kita sendiri  boros, semua ambil mudah, isteri malas ke dapur, suami suka enjoy, sampai bila pun duit tidak akan cukup dan kita bakal lahirkan generasi pemboros. Inilah akibatnya masalah anak-anak zaman ini yang berpunca daripada kesilapan ibu bapa mendidik di rumah.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com