expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 28 May 2012

Ikut tema perkahwinan




KEBANYAKAN mempelai kurang memberi perhatian kepada bunga tangan. Padahal ia adalah elemen penting dalam perkahwinan. Selain berfungsi menambah keceriaan pada hari bahagia, gubahan ini mampu memberikan mood tersendiri yang menjadikan suasana persekitaran bersifat luar biasa.


Dalam membuat pemilihan bunga tangan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian iaitu bentuk tubuh, warna dan jenis bunga.



















 



KOLEKSI...pelbagai jenis bunga tangan untuk mempelai.  






















MODEN...lilitan pita putih serta perhiasan manik menjadi gaya bunga tangan 2012.






















MENAWAN...jambangan bunga tangan merah dipadankan busana putih membangkitkan seri mempelai






















TIRUAN...campuran bunga tiruan biru dan putih tampil menawan dengan kemasan daun di bahagian bawah.






















UNIK...orkid putih dengan gubahan memanjang sesuai untuk majlis bertema.


Pemilihan kepada jenis bunga tangan bagi gaya 2012 lebih kepada bunga segar dengan lilitan pita satin putih pada bahagian tangkainya.


Menurut Arma Abdul Rahman daripada Arma Abdul Rahman Wedding Couture, karangan bunga dililit pita putih mampu menampilkan gaya elegan dan berseri.


Penambahan perhiasan seperti kerongsang, manik, mutiara dan kristal pada bunga turut memperindahkan lagi jambangan yang sudah dibentuk. Ada perunding perkahwinan menambah elemen seperti bulu atau cengkerang pada bunga bagi menambah nilai sentimental.


“Namun pada umumnya, penampilan bunga tangan pada 2012 menjadi nadi penting dalam penggayaan mempelai. Tanpa bunga tangan keserian mempelai kurang menyerlah dan tidak semula jadi,” nyatanya.


Perkara paling penting yang perlu diberi perhatian ialah ukuran bunga tangan dengan bentuk tubuh mempelai. Bagi mempelai bertubuh genit, elakkan memilih bunga tangan berukuran besar dengan warna terang. Putih adalah warna pilihan selamat kerana mudah dipadukan dengan sebarang rona pakaian.


Selain itu bunga tangan harus disesuaikan dengan tema perkahwinan. Warna pilihan bunga amat penting kerana jika terlalu kontras dengan pakaian, ia akan menarik perhatian sehingga menenggelamkan fokus pengantin.


Kini paduan beberapa jenis bunga atau menggabungkan satu warna dari beberapa jenis bunga semakin mendapat perhatian. Misalnya, mempelai menginginkan tema merah, jadi jambangan menggunakan tiga jenis bunga rona yang sama.


“Sebaik-baiknya biarlah rona bunga pegang itu senada dengan keseluruhan penampilan pengantin. Elakkan memilih warna terang sehingga pengantin perempuan kelihatan garang. Sebaliknya warna yang lembut mampu membuatkan mempelai kelihatan anggun dan berada dalam kelas tersendiri,” jelasnya yang membuka butik di Seri Kembangan, Selangor.


Tambah Arma, ukuran bunga juga memainkan peranan penting. Pastikan saiz sedondon dengan pilihan bunga dan warna. Selalunya bunga tangan digubah sederhana besar bagi mengelak pengantin kelihatan ‘kusut’. Jikalau menggunakan mawar, pengantin hanya memerlukan satu atau sedozen bunga saja, tetapi mungkin berbeza mengikut jenis bunga dipilih.


Bunga hidup lebih sesuai berbanding plastik kerana nampak segar dan menawan. Namun sekiranya ingin menggunakan bunga tiruan, pastikan bunga seakan-akan atau hampir sama seperti bunga segar.


“Pastikan mempelai memilih rona pastel yang lembut. Warna garang hanya akan menyebabkan ciri-ciri plastik lebih ketara. Untuk memastikan kesegaran bunga hidup, sebaiknya ia digubah sehari sebelum majlis perkahwinan dan minta perunding majlis menyediakannya,” ujar Arma.


Arma yang biasa menghasilkan bunga tangan memberitahu, kebiasaannya bunga tangan ditambah elemen perhiasan seperti manik, kristal dan reben bagi memperelokkan gubahan. Sebaiknya reben berkilat digunakan dan dibiarkan bergulung panjang sekadar keanggunan manakala warna kristal tidak terlalu kontras dengan bunga.


Berikut antara kesalahan dalam memilih bunga tangan
 

Pengantin selalunya membayangkan ruang perkahwinan bersama dekorasi, namun terlupa dengan kehadiran tetamu yang ramai. Sebaiknya cuba bayangkan perkahwinan dilengkapi dekorasi, meja, kerusi serta jumlah tetamu. Dengan cara ini anda boleh menentukan bunga yang akan menghiasi pegangan tangan anda pada hari bahagia.


Sekiranya anda sudah memilih perunding perkahwinan atau penggubah bunga, pastikan anda memberi sepenuh kepercayaan kepadanya. Namun, jangan lupa memberitahu konsep diinginkan. Jalin hubungan yang baik dengan penggubah bunga bagi mengelak salah faham berlaku.


Ada juga menggunakan bunga pada majlis pernikahan, jadi daripada membazir, apa kata anda himpunkan dan gubah menjadi jambangan bunga tangan yang indah.


Pastikan anda menyenaraikan jenis bunga kerana ia adalah perkara penting dan anda dapat menentukan bajet perkahwinan.


Biarkan penggubah atau perunding perkahwinan menetapkan konsep, warna dan tema bunga tangan anda kerana mereka semestinya lebih mahir. Namun ini bukan bererti anda lepas tangan, sebaiknya beritahu apa yang anda inginkan selebihnya biarkan mereka melakukannya.


Sekiranya anda ingin menggubah sendiri, elak menggunakan warna bunga yang sama dengan tema perkahwinan. Jika ingin menggunakannya, pastikan pilih warna lembut seperti krim, kuning susu, putih atau jingga cair kerana rona ini mampu menambah keanggunan pengantin.


Elak memilih bunga dengan haruman yang kuat kerana ini akan mengganggu tumpuan mempelai serta tetamu lain di sepanjang majlis.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com