expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 30 May 2012

Juara gaya Sepanyol


















EMPAT puluh empat tahun selepas meraih kejuaraan di laman sendiri pada 1964, Sepanyol akhirnya bergelar juara Eropah dengan penuh gaya di Vienna apabila menewaskan Jerman di final Euro 2008.
 

Penyertaan kumpulan kelayakan yang diluaskan kepada tujuh pasukan bermakna perlawanan kelayakan turut ditambah tetapi perjalanan kejohanan yang lebih mudah apabila hanya dua pasukan teratas layak ke peringkat berikutnya.


England gagal layak ke pusingan akhir apabila ketinggalan di belakang Russia dan Croatia dalam kumpulan mereka sekali gus menyebabkan pengurus mereka ketika itu, Steve McClaren, dipecat.


Pada pusingan akhir, Portugal mara dalam Kumpulan A apabila menewaskan Turki dan Republik Czech tetapi dengan tersingkirnya Switzerland, Turki mencuri ruang untuk menduduki tangga kedua kumpulan apabila menewaskan Republik Czech 3-2 pada perlawanan akhir kumpulan berkenaan.


Dalam Kumpulan B pula, Croatia menang ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, malah turut menewaskan pasukan pilihan, Jerman manakala satu lagi pasukan tuan rumah bersama, Austria turut mengakhiri cabaran mereka apabila tewas kepada Jerman pada perlawanan terakhir kumpulan.


Belanda pula tidak berdepan masalah mengungguli Kumpulan C apabila menewaskan juara dunia, Itali 3-0 sebelum membelasah Perancis 4-1 dan Romania 2-0. Begitupun, Itali berjaya melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Perancis dalam perlawanan yang turut menyaksikan Eric Abidal dibuang padang.


Sepanyol memulakan cabaran Kumpulan D dengan kemenangan 4-1 ke atas Russia, diikuti kemenangan selesa ke atas Sweden dan Greece. Russia bagaimanapun bangkit untuk menduduki tempat kedua kumpulan.


Meskipun Jerman beraksi hambar di peringkat kumpulan, mereka tampil lebih meyakinkan pada pusingan kalah mati, bermula dengan kemenangan ke atas Portugal 3-2 di perlawanan suku akhir.


Perlawanan di antara Croatia dan Turki juga hampir membawa ke penentuan penalti tetapi segala-galanya berubah pada lima minit terakhir masa tambahan apabila Ivan Klasnic menjaringkan gol buat Croatia sebelum Semih Senturk menyamakan kedudukan.


Akhirnya, tuah lebih memihak Turki apabila menewaskan Croatia menerusi penalti apabila cubaan Luka Modric dan Ivan Rakitic tersasar manakala tendangan Mladen Petric diselamatkan penjaga gol Turki, Rustu Recber.


Skuad Belanda kendalian Marco Van Basten menjadi pasukan pilihan untuk menewaskan Russia tetapi keadaan berlaku sebaliknya apabila Andrei Arshavin tampil sebagai tonggak untuk mengaibkan Oranje.


Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Itali berjaya mengekang Sepanyol apabila perlawanan berlanjutan ke minit ke-120 tanpa sebarang jaringan. Begitupun mereka tewas dalam penentuan penalti, hasil kehebatan kapten Sepanyol, Iker Casillas.


Turki yang berharap dapat mengulangi pencapaian Greece empat tahun lalu untuk mara ke final, berjaya mengikat Jerman 2-2 tetapi jaringan saat akhir Philipp Lahm memastikan Jerman ke final manakala Sepanyol menewaskan Russia dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.


Dalam perlawanan akhir corak hantaran Sepanyol berjaya mengekang kemaraan Jerman apabila Fernando Torres menjaringkan satu-satunya gol pada minit ke-33, sekali gus mengesahkan Sepanyol juara Euro 2008.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com