expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 26 May 2012

Peluang Kelantan himpit kedudukan Lions XII



BARISAN pemain Kelantan sedia menggempur Johor FC di Pasir Gudang malam ini.


SELEPAS berjaya merangkul Piala FA dan melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Kelantan mahu terus menambah koleksi kejuaraan dan mengekalkan status sebagai penyandang juara Liga Super.


Aksi menentang Johor FC malam ini di Pasir Gudang merupakan peluang terbaik buat The Red Warriors untuk menekan kedudukan pendahulu, Lions XII yang mengungguli persada liga dengan kelebihan tujuh mata.


Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim bagaimanapun mahu para pemainnya memandang serius pertemuan malam ini biarpun prestasi semasa tidak begitu menyebelahi pasukan kelab dari selatan tanah air itu.


Menurutnya, Johor FC dibarisi beberapa pemain berpengalaman seperti Khaironisam Shahbudin, Azi Shahril Azmi, Edy Helmi Manan dan ramai lagi yang mampu mengancam kedudukan Kelantan.


"Atas kertas, tugas kita nampaknya seperti mudah jika prestasi semasa Johor FC diambil kira, namun saya tidak melihat itu sebagai kelebihan kepada kita, sebaliknya kita perlu beraksi dengan baik sekiranya mahu menang.


"Sasaran kita adalah untuk memenangi perlawanan tersebut bagi merapatkan jurang mata dengan Lions XII," katanya ketika dihubungi semalam. 


Tambahnya, sistem penggiliran pemain yang dilakukan oleh jurulatih setakat ini berfungsi dengan baik walaupun pemain terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat. 


Katanya, jurulatih kini sedang mengenal pasti beberapa kelemahan, terutamanya dari segi kekuatan mental selepas mereka hampir menerima padah ketika menang tipis ke atas Terengganu pada pusingan kedua Piala AFC baru- baru ini. 


Dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihak pengurusan mungkin akan menambah seorang lagi pemain import bagi memenuhi kuota bagi saingan Piala AFC selepas kontrak Onyekachi Nwoha tamat kelmarin.


Jelasnya, sehingga kini masih belum ada calon yang sesuai, namun pemain import baharu itu kelak perlu memenuhi beberapa kriteria bagi memperkuatkan pasukan dalam menghadapi saingan suku akhir pada September ini.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com