expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 26 May 2012

Piala AFC: Hodak anggap bukan kemenangan mudah



Antwi (kiri) sentiasa memberi masalah kepada pertahan Terengganu.


KEJAYAAN Kelantan menewaskan Terengganu 3-2, membolehkan pasukan tersebut muncul selaku wakil negara yang keempat selepas Kedah, Perak dan Selangor mara ke saingan suku akhir kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sejak diperkenalkan lapan tahun lalu.


Namun, Ketua Jurulatih The Red Warriors, Bojan Hodak tampil secara profesional apabila enggan meraikan kejayaan pasukannya malah menyifatkan kemenangan tersebut bukanlah diperolehi dengan cara mudah meski pun mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.


“Secara jujur bukan tugas mudah bagi kita menghadapi Terengganu dalam pusingan kalah mati seperti ini. Sabtu lalu kita beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA dan pemain saya nampak kurang bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk bertemu pasukan Terengganu.


“Malah beberapa hari lalu, di kem Terengganu, mereka juga melancarkan perang saraf dengan membayangkan mampu menewaskan Kelantan di sini. Apa mereka fikir kita sebuah pasukan yang setaraf seperti MP Muar atau NS Betaria FC yang mudah untuk ditewaskan?


“Anda boleh lihat pada babak pertama, pemain saya menunjukkan prestasi yang baik sehingga berjaya menjaringkan tiga gol. Tetapi saya kurang gembira dengan aksi pemain pada babak kedua. Mereka seolah-olah berasa terlalu  selesa (kelebihan tiga gol) sehingga membenarkan Terengganu menjaringkan dua gol selepas itu. Dalam perlawanan tersebut, Kelantan mendahului 3-0 menerusi dua jaringan Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ketiga dan 19 perlawanan sebelum Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid melengkapkannya pada minit-minit akhir babak pertama.


Terengganu bagaimana pun bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Ismail Faruqi Asha’ri pada m-53 dan sepakan penalti Francis Forkey Doe pada m-83 perlawanan.


Namun sudah terlambat bagi mereka mencipta kejutan di Kota Bharu. Sementara itu, pengendali baharu Terengganu, Peter Butler menyifatkan kelincahan pemain import, Dennis Antwi menjadi duri dalam daging kepada pasukannya untuk menewaskan Kelantan dalam perlawanan tersebut.


“Gol pertama Kelantan hadir terlalu awal ketika permainan tak sampai pun lima minit berlangsung. Itu yang mengubah rentak permainan kami. Antwi sentiasa memberi masalah kepada benteng pertahanan kami. “Meski pun tewas,  tetapi saya gembira dengan persembahan pemain. Mereka menunjukkan karakter yang bagus untuk bangkit memberikan tentangan sengit kepada pemain Kelantan,” katanya
.     

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com