expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 28 May 2012

Puasa sunat Rejab




REJAB boleh dikatakan sebagai bulan yang ditunggu kebanyakan umat Islam kerana sesiapa yang berpuasa dipercayai mendapat fadilat yang sangat besar.
Jadi, dalam artikel minggu ini, saya ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai bulan Rejab dan berharap sedikit sebanyak ia dapat menjawab persoalan individu yang bertanyakan kepada saya mengenai kelebihan bulan ini.


Dengan penjelasan ini juga, saya harap kita sama-sama dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan paling penting tahu mengenai apa yang kita laksanakan.
Pertamanya, elok jika saya bawakan dalil al-Quran mengenai keistimewaan bulan Rejab ini. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 36, “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (demikian) di dalam Kitab Allah, sejak hari Dia menjadikan semua langit dan bumi. Daripadanya adalah empat yang dihormati. Demikianlah agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu pada bulan-bulan itu…” Prof Dr Hamka dalam Tafsir Al-Azhar menafsirkan ayat ini yang bermaksud: “Maka setelah bangsa Arab memeluk agama Tauhid, agama Hanif, yang dikenali sebagai Islam, yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail, diadakan empat bulan yang dihormati. Dihormati itu kerana pada keempat-empat bulan itu tidak boleh berperang dan tidak boleh balas dendam. Empat bulan itu ialah Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. tiga berturut-turut, dan yang satu lagi ialah bulan Rejab (bulan ketujuh).


Dengan penerangan yang diberikan oleh Prof Dr Hamka, keistimewaan bulan Rejab sama saja dengan tiga bulan yang lain iaitu Zulkaedah iaitu bulan untuk mempersiapkan diri untuk pergi menunaikan haji dan pada bulan seterusnya iaitu Zulhijjah. Kemudian, bermulalah bulan Muharam sebagai pembuka tahun baru dalam kalendar Islam yang sinonim dengan peristiwa Hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah.


Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawasanya beliau berkata: “Rasulullah SAW apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda SAW berdoa; Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami (dengan selamatnya) ke bulan Ramadan. (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Ath-Thabarani) Malah, Abu Daud meriwayatkan bahawa Al Allamah Ibnu Hajar dalam tulisannya menyatakan Baginda SAW ‘memandubkan’ (sunat) berpuasa di bulan Haram. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah digalakkan tetapi tidak ada satupun hadis sahih membuktikan bahawa berpuasa pada hari tertentu dalam bulan Rejab, akan mendapat ganjaran istimewa.


Ahli panel fatwa IslamOnline, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai adakah berpuasa di dalam bulan Rejab itu sunat atau bidaah, menyatakan bahawasanya berpuasa di dalam bulan Rejab adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat), ke atas semua perkara. Tetapi Rasulullah SAW tidak berpuasa satu bulan penuh melainkan hanya pada bulan Ramadan.


Malah, walaupun Baginda SAW banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya.


Dalam hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud menyatakan bahawasanya: “Baginda SAW berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak berbuka, Baginda berbuka sehingga kami mengatakan baginda tidak berpuasa.” Al-Qaradawi tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan-bulan haram termasuklah bulan Rejab tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Syaaban kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW mahupun para sahabat.


Syeikh Muhammad Mutawali Al-Syarawi dalam fatwanya menjawab persoalan mengenai puasa sunat menyenaraikan lapan jenis puasa yang beliau sifat sebagai ‘puasa yang orang Islam lakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah’ iaitu: Pertama, puasa hari Arafah (9 Zulhijjah khusus bagi mereka yang tidak menunaikan Haji). Kedua, puasa hari Asyura (10 Muharam). Ketiga, puasa enam hari di dalam bulan Syawal. Keempat, puasa hari-hari Putih di dalam bulan-bulan Islam iaitu pada hari ke-13,14 dan 15. Kelima, berpuasa pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu.


Keenam, berpuasa di dalam bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Ketujuh, berpuasa sembilan hari daripada bulan Zulhijjah (dari 1 hingga 9 Zulhijjah). Kelapan, banyakkan berpuasa di dalam Syaaban.


Maka di sini, dapat saya simpulkan bahawa Rejab adalah bulan yang mulia sebagaimana bulan-bulan haram yang lain. Dalam bulan Rejab ini sama-samalah kita meninggalkan perbuatan yang dilarang dan diharamkan seperti menzalimi diri sendiri, serta memperbanyak ketaatan kepada Allah SWT dan memperbanyakkan membuat amal kebaikan. Marilah kita mempersiapkan diri untuk memasuki bulan Ramadan yang bakal menjelma dua bulan daripada sekarang agar termasuk sebagai Islam yang berjaya di bulan tersebut dan memperoleh Lailatul Qadar. Pada bulan ini jugalah berlakunya peristiwa besar seperti peristiwa Israk dan Mikraj pada tanggal 27 Rejab di mana yang memaktubkan solat fardu sebagai ibadat wajib yang perlu dilaksanakan umat Islam. Berpuasalah dalam bulan ini sekadar yang mampu tetapi janganlah sehingga melampaui batas.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com