expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 29 May 2012

Serangan masih kurang berbisa


















 
Azamuddin Akil (biru) diasak pemain Felda United, Eddy Nator pada perlawanan persahabatan di Wisma FAM, semalam.


PETALING JAYA - Sekadar menang 2-1 ke atas Felda United bukanlah keputusan yang mewajarkan status sebuah pasukan senior kebangsaan tetapi Datuk K. Rajagobal tetap memandang positif hasil perlawanan persahabatan pemanas badan itu.


Di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, mata dan minda ketua jurulatih negara itu lebih berkisar kepada tahap hantaran, persefahaman dan pergerakan anak buahnya yang cuma menang dengan jaringan Shahurain Abu Samah dan Amar Rohidan.


Aksi itu juga lebih berupa eksperimen Rajagobal dalam menilai kemampuan jentera serangan pilihan kedua apabila cuma menurunkan bintang utama Harimau Malaya seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Ashari Samsudin dalam 20 minit terakhir.


Hanya penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat dan sayap kanan Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Nor tidak diturunkan menjelang empat hari persahabatan menentang Filipina masing-masing atas alasan tersendiri jurulatih itu dan kecederaan urat pelipat lutut.


Sepanjang sebahagian besar separuh masa pertama, Rajagobal mengutamakan gandingan Azamuddin Akil dan Ahmad Shakir Md. Ali yang kurang berbisa sementara benteng tengah menampilkan pasangan pemain Angkatan Tentera, Aidil Zafuan Radzak dan Amiridzwan Taj Tajudin.


Felda United mendapat gol sagu hati hasil sepakan bebas Abdul Ghani Abdul Rahman pada babak kedua dalam perlawanan yang menyaksikan Safee terpaksa dikeluarkan beberapa minit sebelum tamat selepas dikhuatiri tercedera akibat terjahan lawan di luar kotak penalti.


Kata Rajagobal: "Dalam perlawanan ini, saya mengutamakan pemain yang jarang bermain sebelum ini bagi menilai tahap kecergasan, hantaran dan kombinasi mereka serta rentak perlawanan. Mereka tampak positif dari aspek itu.


"Apek (Khairul Fahmi), Mat Yo (Norshahrul) dan Ashari baru sahaja masuk kem latihan (selepas sibuk dengan Piala AFC) sementara saya tidak boleh menurunkan Wan Zack Haikal kerana kecederaannya boleh mengambil masa lebih panjang dan berisiko tinggi," katanya.


Harimau Malaya akan menghadapi Filipina di Stadium Shah Alam, Jumaat ini sebelum ke Singapura, 8 Jun dan menanti kunjungan lawan empat hari kemudian sebagai persahabatan persediaan untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF, November ini.


No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com