expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 16 July 2012

Balu Arafat akan kemuka dakwaan Arafat diracun


















ARAFAT (dalam bulatan) menaiki helikopter di Ramallah, Tebing Barat pada 29 Oktober 2004.


ZURICH - Balu bekas Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Yasser Arafat akan mengemukakan tindakan undang-undang di Perancis berhubung dakwaan bahawa suaminya meninggal dunia kerana bahan beracun radioaktif polonium, kata peguamnya yang disiarkan semalam.


"Suha (balu Arafat) memutuskan untuk mengemukakan tuntutan undang-undang dalam tempoh sebulan," kata peguam, Marc Bonnant kepada akhbar Le Matin Dimanche.


Menurutnya, prosiding undang-undang itu akan dibuat di Perancis.


Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera di Paris, Perancis pada November 2004.


Bonnant berkata, Suha akan mengemukakan dakwaan terhadap beberapa orang kerana meracun suaminya.


Balu bekas Presiden Palestin itu sebelum ini menyokong kubur Arafat digali semula.


Institut Radiasi Fizik di Switzerland yang menganalisis sampel daripada barang-barang peribadi Arafat mendapati terdapat kuantiti polonium yang luar biasa.


Penemuan itu dilaporkan dalam satu dokumentari yang disiarkan pada awal bulan ini.


Anak saudara Arafat, Nasser al-Qidwa pada Khamis lalu menuduh Israel meracun bekas pemimpin Palestin itu.


Polonium merupakan bahan beracun yang jarang ditemui di luar pangkalan tentera dan pusat kajian saintifik.


Bahan itu digunakan untuk membunuh bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko yang meninggal dunia pada tahun 2006 sejurus selepas dia meminum teh mengandungi racun tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com