expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 12 July 2012

Kelantan sedih keputusan FAM




Kuala Lumpur: Meskipun berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat musim kedua berturut-turut, Kelantan dipalit rasa tidak puas hati apabila buat kali kedua juga terpaksa menjulang trofi berkenaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.


Kelantan mengesahkan kejuaraan miliknya selepas membelasah Perak 6-0 Sabtu lalu, namun majlis penyampaian trofi tidak akan dibuat pada aksi terakhir menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Sabtu ini, seperti diharapkan penyokong The Red Warriors. Sebaliknya FAM memutuskan majlis penyampaian trofi bagi Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM diadakan serentak pada jam 3 petang, 20 Julai di Wisma FAM. 


Keputusan FAM itu turut menimbulkan rasa terkejut dan dukacita Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.


"Johan dan naib johan (Liga Super) sudah diketahui seawal 7 Julai (Sabtu lalu). Jadi mengapa harus menunggu dua minggu? Penyampaian piala patut dibuat pada perlawanan terakhir Liga Super di Kota Bharu. Hadiah lain bolehlah dikemudiankan.


"Saya tak dapat memahami kenapa ini dilakukan? Apakah kerana Kelantan yang memenanginya?" kata Annuar menerusi laman Facebook rasmi miliknya, semalam.


Namun Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Naib Presiden FAM tampil membuat penjelasan berhubung hal berkenaan. 


"Tidak perlu jadi isu. Musim lalu pun trofi dan hadiah Liga Super disampaikan di Wisma FAM. Lagipun kebetulan pegawai FAM kini sibuk mengendalikan acara bola sepak SUKMA 2012 di Kuantan," kata Hamidin ketika dihubungi di Kuantan, malam tadi.


Mungkin secara kebetulan, malam selepas trofi itu disampaikan pada siangnya, Kelantan bertemu QPR pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam dan pasti pasukan itu dapat meraikannya walaupun lewat seminggu.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com