expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 3 July 2012

Syukur, sabar mohon doa diperkenan




SEMUA mengharapkan setiap hajat yang disampaikan kepada Allah dimakbulkan dengan segera. Namun, dalam masa menanti doa dimakbulkan, ada kala wujud juga perasaan tertanya-tanya sama ada doa itu akan dipenuhi.


Oleh itu timbul soalan, apakah faktor menjamin Allah Taala menjawab doa kita? Formulanya mudah, seseorang yang meletakkan permintaan kepada Allah perlu ikhlas dalam setiap perbuatannya. Allah SWT berfirman bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Al-Mukmin, ayat 60) 


Allah SWT berfirman bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Al-Mukmin, ayat 60)


Walaupun kita digalakkan berdoa, tetapi pasti sukar kita memikirkan seseorang yang terus melakukan dosa, pada masa sama tanpa rasa bersalah memohon Allah memenuhi keinginan kebendaan.







Lantas, bagaimana orang itu boleh menjangkakan Allah menjawab doanya? Jika kita mempunyai rakan yang tersinggung atas perbuatan kita terhadapnya, apakah kita akan menjangka dia akan menghulurkan bantuan jika kita memerlukan? 


Syarat pertama supaya Allah SWT menjawab doa kita ialah bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya atas segala perbuatan dosa yang dilakukan. Taubat pula mesti ikhlas, bukan satu kenyataan lisan semata-mata yang kita ulangi seperti burung kakak tua.


Syarat kedua, tidak harus terburu-buru bermakna tidak harus mempertikaikan kehendak dan tindakan Allah Taala, akan menjawab semua doa kita atau bila kerana hanya Dia Maha Mengetahui waktu terbaik untuk dimakbulkan doa kita.


Oleh itu, sebagai Muslim beriman kepada Allah, kita sepatutnya tidak melayan fikiran yang kerap kali mempertikaikan kenapa Allah tidak menjawab doa atau memakbulkan hajat yang dipohon dalam doa.


Allah berfirman bermaksud: “Apabila hamba-Ku bertanyamu mengenai Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah, ayat 186) 


Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Dikabulkan (doa) salah seorang daripada kamu selama dia tidak tergesa-gesa iaitu dengan berkata: Aku sudah berdoa (tetapi) tidak dikabulkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Rasulullah SAW menasihati kita tidak memikirkan doa dimakbulkan atau tidak kerana hal itu akan menyebabkan seseorang berasa kecewa lantas meninggalkan ibadah kepada Allah. Tidak boleh juga kita mempersoalkan orang kafir yang tidak beriman kepada Allah, tetapi diberi pelbagai nikmat. Kita hendaklah yakin Allah SWT sentiasa menjawab doa hamba-Nya yang mukmin. 


Setiap kali selepas solat kita akan menadah tangan berdoa kepada Allah. Adakah kita memohon satu perkara saja? Tidak, sebaliknya banyak benda yang kita mohon seperti disihatkan tubuh badan, dimurahkan rezeki, dimatikan dalam iman serta dikuatkan iman.


Apakah semua permohonan kita itu diperkenankan? Allah makbulkan setengah daripadanya dengan segera dan ada yang ditangguhkan dulu. Oleh itu, hendaklah kita bersyukur dan sabar menunggu serta tidak boleh berputus asa daripada terus berdoa.


Seseorang mukmin yang tidak mahu meminta pertolongan kepada Allah, Allah murka kepadanya.


Daripada Abu Hurairah katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya.” (Hadis riwayat Tirmizi)


 

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com