expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 9 August 2012

Haiwan khayalan Afrika

















BIARPUN terdapat ciri-ciri badan seperti kuda belang dan keldai, okapi sebenarnya daripada keluarga zirafah. 


OKAPI pernah dianggap sebagai binatang mitos oleh penduduk di tengah Afrika. Apatah lagi sejak zaman dahulu lagi masyarakat tempatan sering dimomokkan dengan kisah dongeng berkaitan haiwan yang tidak pernah mereka temui itu. 


Ia turut menjadi cerita rakyat di Eropah apabila orang tempatan kerap bercerita mengenainya hinggakan orang luar turut mempercayai kewujudannya.


Lebih menguatkan dakwaan yang ia sejenis haiwan khayalan ialah apabila tubuhnya digambarkan sebagai pelik. Ada juga yang menyangka okapi merupakan jelmaan hantu hutan.


Jadi, tidak hairanlah jika okapi pernah dianggap mitos kerana badannya kelihatan seolah-olah seekor keldai manakala dua pasang kakinya persis seekor kuda belang. Ia mempunyai lidah sepanjang kira-kira 35 sentimeter dan wajah seperti seekor zirafah.
















 


PANJANG lidah okapi boleh mencapai kira-kira 35 sentimeter.


Namun pada sekitar tahun 1900-an, persepsi dunia mengenai haiwan mitos itu berubah apabila haiwan yang digelarkan sebagai unikorn Afrika itu buat pertama kalinya ditemui dan dicatatkan.


Seorang pengkaji Amerika Syarikat, Henry Morton Stanley menemui haiwan tersebut pada tahun 1887 dan mencatat penemuan itu dalam jurnal peribadinya, The Darkest Africa. Stanley menggelarkan haiwan itu sebagai Atti. 


“Saintis menemui haiwan misteri itu kurang sedekad sebelum Ekspedisi Congo dilancarkan pada tahun 1909. 


“Namun begitu, hingga sekarang sejarah hidup dan habitat asal haiwan itu belum difahami sepenuhnya,” ujar seorang penulis alam sekitar dan sains, Gordy Slack.


Tambah Slack, okapi yang hanya terdapat di kawasan hutan hujan Ituri iaitu bahagian timur laut Republik Demokratik Kongo di bahagian tengah Afrika dikelaskan sebagai haiwan daripada keluarga zirafah.


Zirafah

















 


RANGKA zirafah purba yang pernah ditemui di Pikermi Greece menyamai rangka milik okapi. 


Bekas Gabenor British di Uganda, Henry Johnston yang berminat dengan haiwan itu pernah melakukan kajian lebih terperinci tentang kewujudan okapi pada tahun 1901.


Pada ketika itu, para saintis di London yang turut serta dalam kajian Johnston mendapati bahawa haiwan misteri itu dikelaskan sebagai kuda belang yang tidak diketahui spesiesnya.


Bagaimanapun, selepas kajian lebih terperinci ke atas kulit dan tulang okapi pada tahun 1938, pengkaji mendapati ia menyamai genetik spesies zirafah purba yang ditemui di Greece.


Ketika itulah, misteri haiwan yang dikatakan mitos itu dibuktikan benar-benar wujud. Namun, ia bukanlah seekor kuda mahupun kuda belang, sebaliknya dikelaskan sebagai keluarga zirafah.


“Walaupun jelas pada kakinya ia adalah seperti seekor kuda belang, hakikatnya okapi dan zirafah adalah daripada keluarga yang sama.


“Begitupun, belum ada bukti yang mengesahkan sama ada ia adalah hasil kacukan ataupun wujud sejak azali. 


“Okapi merupakan mamalia terakhir yang ditemui di dunia pada tahun 1900-an,” kata Pengarah Zoo Bronx di New York, Amerika Syarikat, Jim Breheny.


Selain di Zoo Bronx, okapi kini popular di beberapa buah zoo di Amerika Utara dan Eropah. Haiwan itu dikatakan sebagai fosil hidup kerana pernah disahkan pupus tetapi kembali ditemui di kawasan tersebut.


Kini selain boleh dilihat di beberapa buah zoo terbabit, habitat okapi masih dijumpai di Republik Demokratik Kongo.


Menurut fakta, terdapat 154 ekor okapi di 42 buah zoo yang majoritinya di Amerika Utara dan Eropah, manakala masih ada kira-kira 20,000 ekor okapi yang hidup bebas.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com